
Rasanya anda semua sudah tahu yang Anzalna telah membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Neelofa dalam satu sidang media khas anjuran Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) di Hotel Royale Chulan, Petaling Jaya yang berlangsung petang kelmarin kerana tindakannya yang disifatkan sebagai memfitnah pelakon itu menerusi sebuah akhbar (Berita Minggu) pada 10 Jun lalu. Jika belum tahu, boleh baca post ini.
Ekoran daripada permohonan maaf yang telah dibuat oleh Anzalna itu, Neelofa menganggap persengketaan antara mereka sudah berakhir dan turut memberitahu yang dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk berkawan dan bertegur sapa dengan Anzalna pada masa akan datang. Malah Neelofa berkata yang dia tidak menyimpan sebarang dendam kepada Anzalna kerana Anzalna sudahpun memohon maaf.

Seperti kata Neelofa:-
“Tiada masalah untuk kami berkawan selepas ini. Sebelum timbul kes ini pun saya pernah bertegur sapa jika terserempak di majlis atau acara tertentu.
“Saya sudah terfikir untuk memaafkan dia selepas dia gagal menjawab notis tuntutan yang dikeluarkan pada tempoh hari. Apabila dia bersetuju dengan syarat-syarat yang ditetapkan dalam surat akuan itu, saya tiada masalah untuk berdamai,”
Tambah Neelofa, dia tidak mahu memanjangkan lagi isu berkenaan dan berpuas hati dengan permohonan maaf daripada Anzalna kerana ia mengikut ketetapan yang dimintanya dalam surat perjanjian yang dikeluarkan.
“Saya sudah memaafkan dia kerana dia bersetuju memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dalam surat akuan itu. Kes ini pun sudah selesai pada hari ini.
“Cuma dia tidak boleh menyebut nama saya dalam mana-mana kenyataan di khalayak atau media dan tidak memanjangkan lagi hal,”
Ditanya mengenai kemungkinan untuk mereka berlakon bersama pada masa akan datang, Neelofa berkata, sebagai pelakon dia tidak keberatan untuk bekerjasama jika tawaran yang diterima menepati cita rasanya.
“Saya tiada masalah untuk bekerjasama dan berlakon bersama jika ada tawaran yang bersesuaian selepas ini. Jika ia melibatkan kerja, saya akan profesional dan meneruskan kerjasama itu,”





