Pengacara dan wartawan penyiaran terkenal TV3, Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd. Zin, 28, membuat keputusan drastik untuk meletakkan jawatan sebagai kakitangan sepenuh masa di stesen televisyen berkenaan mulai hari ini.

Kami pasti, ramai yang membuat spekulasi mengatakan ianya disebabkan kontroversi yang berlaku baru-baru ini. Walau bagaimanapun, Nurul Syuhada menyatakan bahawa keputusan yang dibuatnya itu langsung tidak ada kena-mengena dengan isu kontroversi yang membabitkan dirinya malah ianya sudah lama dipertimbangkan.
“Saya pasti ramai yang akan memberi persepsi peletakan jawatan saya ini berkaitan dengan kontroversi baru-baru ini, tetapi saya ingin tegaskan ia memang tidak berkaitan langsung dengan apa yang telah berlaku.
“Lagipun saya sudah menghantar surat peletakan jawatan kepada pihak pengurusan sebulan yang lalu dan esok (hari ini) merupakan hari terakhir saya sebagai kakitangan sepenuh masa dengan TV3,”
Nurul Syuhada turut memberi tahu bahawa keputusan itu dibuat kerana dia ingin memberi tumpuan kepada perkara lain serta berhasrat menyambung pelajaran pada peringkat sarjana dalam bidang Psikologi atau Tamadun Islam.
Nurul Syuhada juga menyatakan, keputusan perletakan jawatan yang dibuatnya itu sedikit sebanyak dipengaruhi oleh hasrat suaminya untuk menimang cahaya mata setelah lebih setahun mereka mendirikan rumah tangga.





