Luahan Hati Jimmy Shanley Mengenai Isteri & Perkahwinannya

Tuesday, June 14, 2011 10:01
Posted in category Bermasalah, General

LUAHAN HATI DAN PERASAAN JIMMY SHANLEY MENGENAI KRISIS RUMAHTANGGA YANG DILALUINYA

Sedih kami membaca luahan hati dan juga perasaan Jimmy Shanley mengenai isteri dan perkahwinannya kerana apa yang dilalui oleh Jimmy Shanley sangat jauh berbeza dengan pasangan suami isteri yang baru berkahwin yang lain.

Kami tidak mahu membuang masa anda dengan membaca celoteh kami kerana kami mahu anda membaca luahan perasaan Jimmy Shanley mengenai apa yang dilaluinya dalam perkahwinannya yang selama ini terbuku di hatinya.



INAI masih merah di jari, isteri dah lari. Kami sempat duduk serumah selama 20 hari tetapi kalau diikutkan, saya hanya dapat bersamanya 10 hari. Bulan madu saya pun tidak seperti orang lain.

Mulanya rancangan diatur untuk pergi berbulan madu ke destinasi lebih jauh dan romantik tetapi kerana keadaan kami tidak seperti pasangan pengantin baru yang lain, kami rancang untuk pergi ke Koh Samui, Bangkok dan Bali saja. Itupun, apabila sampai di Koh Samui, dia dah ‘lari’. Katanya, dia hendak ke Bangkok seorang diri.

Saya dah letih hendak memikirkan apa berlaku antara saya dan dia. Perasaan saya bercampur baur. Semakin lama dia pergi, semakin jauh. Dia ada anak angkat dan dia lebih suka tidur bersama anak angkatnya daripada melayan suaminya.

Saya dah tak kuasa hendak menyembunyikan perkara sebenar kerana semua orang dah tahu. Kalau ikutkan hati, hendak jadi apa pun jadilah, tetapi bila memikirkan anak kami yang sedang dikandungnya, hati saya jadi sebak, pilu dan sedih. Apa hendak jadi dengan saya, ada isteri macam tak ada isteri.

Dia sempat bermalam di rumah saya di Putra Heights, semalam saja. Apabila dia mahu duduk bersama saya, alangkah gembira rasa hati kerana dalam angan-angan saya dapatlah kami hidup bahagia seperti orang lain.

Di rumah itu semua saya sediakan, bahkan makan minum pun saya yang buatkan. Kain baju, saya hantar dobi. Dia tak perlu buat apa-apa dan saya tak kisah asalkan dia gembira. Bangun pagi, sarapan sudah terhidang. Namun, dia lari juga dari saya. Apa lagi perlu saya buat untuk menambat hatinya, bingung jadinya.

Sejak dia keluar rumah dan tak balik lagi, setiap hari saya menunggunya. Apabila terdengar kereta berhenti depan rumah, pantas tangan menyelak langsir, manalah tahu kalau dia yang balik. Berbulan saya menunggu tetapi hampa belaka. Dah kering air mata mengenangkan keadaan rumah tangga kami.

Saya tahu dia mengandung pun daripada orang lain dan wartawan yang bertanya kepada saya. Hancurnya hati, sebagai suami saya tak tahu apa-apa mengenai isteri. Orang lain lebih tahu daripada saya.

Sudah bermacam cara saya buat untuk mengambil hatinya, tetapi dia tetap tak mahu berjumpa saya. Kalau orang lain bahagia berkahwin, tetapi saya pula hanya mendapat malu dan sengsara. Saya tidak pernah berniat menumpang hartanya atau keluarganya, cuma mengharapkan sebuah rumah tangga yang bahagia.

Sebelum berkahwin, saya tidak pernah membenarkan mana-mana media mengambil gambar rumah, tetapi selepas berkahwin saya terpaksa melakukannya untuk membuktikan saya memang mampu menyara hidup kami berdua. Saya tidak mengambil sesen pun harta keluarganya.

Sebaik saja tahu dia mengandung, teringin benar hati ini untuk menjaganya, membawanya menjalani pemeriksaan di klinik dan melihat gambar imbasan bayi kami. Namun, saya tak merasa itu semua.

Saya ini bapanya, tetapi tiada apa yang dapat saya lakukan. Saya hanya boleh membayangkan saat-saat indah itu. Saya juga tak tahu bila dia hendak bersalin, khabarnya dalam sehari dua ini. Meronta hati ini untuk mengetahui jantina bayi itu.

Sebagai menyambut kehadiran orang baru itu, saya membeli peralatan bayi. Saya melihat dan membeleknya setiap hari, semakin saya memandangnya, terasa sangat sedih. Kasihan si kecil itu. Sebaik saja mendengar tangisannya nanti, saya mahu mengazankannya tetapi adakah saya akan dapat peluang itu. Saya mahu menjaganya kerana saya tahu, saya boleh menjadi bapa yang baik.

Pada awal kehamilannya, ibu mentua saya berjanji mahu menyerahkan bayi itu kepada saya tetapi sekarang rentak percakapannya sudah lain. Sudah terlalu banyak mereka menabur janji, saya tak tahu janji mana satu yang betul.

Saya serahkan segala-galanya pada Allah SWT. Bagaimana dan macam mana rupa bayi itu, saya mahu menjaganya dengan sepenuh kasih sayang.

Saya tak tahu dia ini macam mana orangnya, macam tak ada hati perut. Ke manakah pergi kewarasannya sebagai manusia. Dia lebih pentingkan kawannya daripada suami. Setiap orang ada kisah silam dan saya pun bukan orang yang sempurna.

Lupakanlah cerita lama dan bina hidup baru. Rupa-rupanya itu cuma harapan dan impian saya seorang, sedangkan ingatan dan fikirannya entah ke mana. Ingatkan selepas berkahwin, dapatlah lebih mengenali hati budi isteri tetapi kami semakin terpisah jauh.

Ketika mula mengandung dulu, alasan berjauhan dari saya kononnya tidak tahan bau badan suami. Alahan orang mengandung. Saya terima, tetapi sampai berapa lama. Orang lain mengandung juga, kalau tak tahan bau badan pun, setakat berpisah bilik namun masih tinggal sebumbung.

Dengan sekian banyak alasan, saya dah muak mendengarnya. Selepas bersalin nanti, entah apa pula alasan diciptanya. Ada juga saya dengar, selepas bersalin dia mahu membawa anak kami lari ke luar negara. Aduhai hati… sudah terlalu lama ‘engkau’ menderita. Bilakah akan berakhir.

Dalam kegelisahan dan kehampaan ini, tiada tempat hendak mengadu. Sejak kecil, emak dan ayah sudah pergi menghadap illahi. Hanya kepada Allah SWT saya serahkan segala-galanya. Dia ke umrah bersama keluarganya pun tidak minta izin saya.

Apapun, saya tetap mendoakan kebaikan untuknya dan dengan harapan tinggi menggunung moga kelahiran bayi itu nanti akan menyatukan kami semula.

Bersama sekeping hati yang duka, saya pergi mengerjakan umrah baru-baru ini. Saya memanjatkan doa ke hadrat Ilahi supaya memberi ketenangan dan kekuatan untuk menempuh hidup ini.

Alhamdulillah, sekembalinya dari Tanah Suci, saya rasa tenteram dan tidak lagi terikut-ikut kata hati. Saya akan lalui saja apa yang ditetapkan oleh Yang Maha Esa. Untuk mendapatkan kekuatan, saya baca buku motivasi dan agama.

Sesungguhnya sebagai isteri, tidak sukar untuk mencari keredaan Allah. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: “Seorang perempuan yang menegakkan solat lima waktu, berpuasa pada Ramadan dan mematuhi suaminya akan memasuki syurga melalui pintu mana saja dia suka.” Andai kata dia mahu kembali kepada saya, saya sedia memaafkannya dan menerimanya. Saya mahu bayi yang bakal lahir itu mempunyai keluarga sempurna.

Imbas kembali detik melalui tempoh pertunangan, pernikahan dan malam pertama, sebaknya hati tidak terkata. Sepanjang tempoh pertunangan pun, dia tak mahu rapat dengan saya. Ada saja yang tak kena.

Dua minggu sebelum berlangsungnya kenduri dan majlis persandingan, kami ambil gambar praperkahwinan di Cameron Highlands, itu pun dah kecoh.

Oleh kerana jodoh kami kuat, kami bernikah juga. Selepas itu pun, banyak benda yang merepek-repek dan huru-hara jadinya. Tiba malam hendak bersanding, dia tetap dengan perangainya.

Jika orang lain naik pelamin dengan wajah ceria, saya rasa biasa saja. Malam pertama, pasangan pengantin baru diulit bahagia, saya pula lain ceritanya.

Jika dia tak mahu juga berubah dan masih tidak dapat menerima saya sebagai suami, tunggulah kes di mahkamah nanti. Kalau boleh, saya tak mahu masalah kami dibawa ke mahkamah kerana akan mengundang aib, tetapi saya terpaksa melakukannya kerana perlu pertahankan hak saya.

Peliknya, dia berkahwin dengan saya bukan kerana dipaksa keluarga tetapi atas kemahuannya sendiri. Pada hari jadinya tahun lalu, apabila ditanya ibu bapanya, dia mahu hadiah apa, katanya dia hendak berkahwin dan ciri lelaki yang diidamkannya adalah saya. Kami pernah berjumpa lima tahun lalu dan pernah mengambil gambar bersama.

Kebetulan ketika ibunya datang berjumpa saya, saya masih solo dan segala-galanya diatur untuk menjodohkan kami berdua. Entahlah, saya tak tahu hendak kata apa lagi. Agaknya kerana saya penyabar, Allah SWT berikan saya ujian ini.

Sesungguhnya Allah SWT berikan ujian itu mengikut tahap kemampuan hamba-Nya. Jika itulah ketentuan hidup saya, moga Allah SWT kuatkan iman dan hati ini untuk menghadapinya.

Saya tak suka hendak bercerai-berai, tambahan saya artis. Nanti masyarakat ingat, artis ini tak ada kerja lain, asyik bercerai saja. Apabila orang dah tahu kisah rumah tangga saya, hendak keluar rumah pun malu dengan jiran tetangga.

Apabila kawan datang ke rumah ajak keluar makan, baru saya keluar. Beratnya tanggungan ini. Hanya Allah SWT yang mengerti derita saya.”

P/s: Jangan beli produk-produk yang diimport dari Taiwan ini

Related Posts with Thumbnails
You can leave a response, or trackback from your own site.

23 Responses to “Luahan Hati Jimmy Shanley Mengenai Isteri & Perkahwinannya”

  1. hazwan says:

    June 14th, 2011 at 10:17 am

    isteri derhaka ni

    [Reply]

  2. syok.my says:

    June 14th, 2011 at 11:18 am

    memang sedih.. harap jimmy sabar menghadapi ujian ini.. insyaAllah kalau Allah mengizinkan rumahtangga jimmy kembali utuh, tiada apa yg boleh menghalang.. tp kalau sebaliknya, hadapilah ia dengan redha.. mungkin ada sesuatu yg lebih baik sedang menunggu jimmy..

    [Reply]

  3. Onie says:

    June 14th, 2011 at 1:47 pm

    setiap apa yang berlaku pasti ada hikmah disebaliknya….harap jimmy sabar menghadapi semua dugaan ini..jimmy perlu ingat ramai lagi insan diluar sana menghadapi masalah yang sama.InsyaAllah pasti ada jalan yang lebih baik dari apa yg telah berlaku.yang penting ketabahan,kesabaran banykkan berdoa kpd Allah SWT.Aminnn…..

    [Reply]

  4. rahsiaemel.info says:

    June 14th, 2011 at 3:49 pm

    Dah nasib badan kita sebenarnya tahu kemungkinan yang akan berlaku selepas perkahwinan tetapi disebabk rasa cinta kita teruskan juga perkahwinan tu.. dalam hal ni, sebagai lelaki takde la masalah sangat kecuali sakit hati dan kecewa tak mendapat orang yang diidam2kan.. jangan risau ada jodoh kahwin lagi :) sabarla yek…

    [Reply]

  5. niza says:

    June 14th, 2011 at 3:57 pm

    sabar jimmy,setiap manusia tg di uji,Allah angkat dia kemartabat yg tinggi…,berserah pada Dia adalah jln yg tebaik,hanya Allah yg sempurna…insyalah…amin…

    [Reply]

  6. Mae says:

    June 14th, 2011 at 4:33 pm

    Masih tak faham apa puncanya. Tapi, memang begitulah sikap perempuan.

    [Reply]

  7. izah says:

    June 15th, 2011 at 2:00 am

    Sabar Jimmy…Janji Allah..lelaki yang baik adalah untuk ppuan yang baik dan sebaliknya…mungkin isteri anda baik tapi dia tersasar arahnya perlukan masa untuk memperbaiki setiap kekurangannya, jika rumahtangga anda bertahan benarlah mungkin dia yang terbaik untuk anda, jika sebaliknya redalah mungkin bukan dia yang terbaik untuk anda bersabarlah, apa pun musibah yang datang hadapilah dgn tenang dan sabar ada hikmahnya yang tersembunyi. Jika anda reda saya yakin masih ramai ppuan yang baik-baik di luar sana menanti anda…Anggaplah ini salah satu perjalanan yang harus anda tempuhi untuk kehidupan yang lebih baik untuk masa akan datang…Insyaallah…

    [Reply]

  8. mawar desa says:

    June 15th, 2011 at 9:15 am

    wlpn tahu apa yg terjadi, biar kami diamkan diri je kerana biar selesai dalam aman setiap masalah mereka…sian gak tgk jimmy tp nak buat cmne dah terjadi segalanya….sabar jimmy

    [Reply]

  9. tips untuk hamil says:

    June 15th, 2011 at 3:54 pm

    siannya jimmy..bersabar la..sesungguhnya tuhan itu thu ap yg terbaik untuk umatnya

    [Reply]

  10. Udin Santoren says:

    June 17th, 2011 at 5:43 am

    Sabar ajelah Jimmy.. aku ase dah mmg tkde jodoh kot antara ko dgn perempuan yg mengada-ngada tue.. baek ko kawin jek lain, lagi pun ko maintain hensem.. melambak-lambak perempuan yg jauh lebih baik utk ko diluar sana tue bro.. aku ase sekali ko petik nk kawin, berduyun-duyun yg nak.. apa pun moga ko akan sentiasa bersabar menempuh dugaan yg melanda.. semoga berbahagi slalu.. amin..

    [Reply]

  11. mak uda & Dara says:

    June 17th, 2011 at 10:25 am

    Dahlah jimmy hidup perlu diteruskan……Ini lah  dia no.6 pada rukun IMAN …..khawin dengan akak jeee….lah….ha…..

    [Reply]

  12. ummul mia says:

    June 17th, 2011 at 11:00 am

    assalamualaikum………….kpd jimmy…smoga tabah mnghadapi sgala ujian dari Allah…seandainya kmu bleh bersatu …bimbinglah isteri ke jalan yg lurus…insyaALLAH ,dgn brakah dri TUHAN…kmu dpat menjalani kehidupan seperti suami isteri yg lain……apapun mngalir air mata sy bla mmbaca statement jimmy………..

    [Reply]

  13. Gina says:

    June 17th, 2011 at 3:32 pm

    baik berpisah dari sakit hati… lepas tu cool down for 1 year then boleh jd artis lagi…

    [Reply]

  14. shahrul says:

    June 18th, 2011 at 10:38 am

    harap bersabar …..

    pengalaman aku sebagai suami .. ambil masa hampir 10 tahun untuk mencapai kematangan, pada awal perkahwinan .. pasti ada gaduh, hampir bercerai, maslah kewangan, ego , masalah mertua mentua smua, adik beradik dan macam macam ….. sampai ada masa nak gugur kandungan sebab masalah kewangan (masih belajar + kahwin masa tue), tetapi kalau kita perhati orang sekeliling kita .. ada yang lebih hebat dugaan/cabaran… cuma kita tidak merasai dan menikmati “penangan” tue sebab takdir sesama manusia berbeza, selalulah ingat isteri dan zuriat adalah amanah yang perlu dijaga walaupun nilainya mungkin 1sen, ia tetap perlu di kongsi bersama, kuatkan semangat dan tabah selalu ….ia sebenarnya mengajar erti kematangan dalam kehidupan berumah tangga …

    [Reply]

  15. S says:

    June 19th, 2011 at 1:06 pm

    Kepada Jimmy, bersabarlah. Saya seorang isteri dan seorang perempuan. Memang saya akui, dalam 2 thn perkahwinan kami bergolak kerana masih tidak memahami antara satu sama lain. Saya banyak derhaka kepada suami saya, sehingga dia memukul saya. Selepas dia memukul, pekahwinan kami makin keruh dan ibu bapa dua2 pihak terlibat. ALhamdulillah, akibat doa dan toleransi dari semua pihak, rumah tangga kami semakin harmoni setelah tahun ketiga. Ini semua dugaan. Banyak2 berdoa untuk isteri dan pandukannya ke jalan benar. 

    [Reply]

  16. nadia says:

    June 20th, 2011 at 12:12 pm

    salam, sy sangat bersimpati dgn luahan jimmy.sangat terkejut ape yg telah terjadi dgn rumahtangga jimmy. Ini semua ujian Allah s.w.t. Apabila kite d ambang awal perkahwinan,sepatutnya pasangan suami isteri perlu membelai kasih sayang yg mendalam. Tapi sy sangat marah dgn isteri jimmy.sbb die memalukan kaum wanita yg masih waras dan beragama islam. Itu namanye derhaka terhadap suami. zuriat itu sangat penting.sy pon da ade anak sorang.kasih sayang kat anak tue mendalam sangat.suami pon begitu juga.Sabar Jimmy.kalau perangainye tetap x berubah.lepaskanlah si isteri tue.lepas nie cari la wanita yg betul2 menyintai jimmy hingga akhir hayat.Insyaallah lepas nie hidup jimmy akn tenang dan aman.

    [Reply]

  17. sue says:

    June 27th, 2011 at 8:16 pm

    kcian aku dgn jimmy ni..ntahla apa jua bininya fikir..huh bertuah btl klu dpt jimmy ni btl2 pyabar n syg anak bini..wlupn kena wat mcm tu oleh bini dia, dia tetap berharap dorg akan kembali jua..wahh..mana cari lelaki mcm tu krg klu org lain dah kena cerai kali.. klu aku dpt laki mcm ni alangkah beruntungnya.. :)

    [Reply]

  18. penghuni alam says:

    June 28th, 2011 at 9:17 am

    1st tahniah jimmy dah jadi BAPA….setiap pasangan lain yang dah berkahwin pelbagai dugaan dan pengalaman yg dilalui…pahit manis dikongsi bersama.jimmy apa yg dilalui ini x seperti keindahan di masa percintaan dulu…..bersyukur….bersabar….dan apabila berhadapan episod DUKA begini hadapilahhh dengan penuh ketenangan. Sesungguhnya keindahan itu akan digapai cuma cepat dan lambat saja.Apabila keadaan diri bersendirian itulaah semua perkara2 negatif akan terbit di fikiran kita. jgn biarkan kesedihan itu mengusai diri. Kuat dan harungi dugaan besar mu itu penuh KETABAHAN. Dekatkan diri bersama Allah….aku sebagai peminatmu Mendoakan Semoga kau diriberi ketabahan hendaknya dan semoga hati isterimu terbuka semula untuk hidup bersamamu seperti para isteri2 yang lain….Amin!!!!!

    [Reply]

  19. perempuan melayu says:

    July 30th, 2011 at 1:30 pm

    Tulah…..masa blm kawin dah tau perangai bini camtu tp nak kawin gak….lani..dah jd camni….anak yg jd mangsa..biasalah pompun cantik ada harta…tp otak takde..lepas ni klau ditakdirkan jodoh anda dah takde,masa akan datang carilah pompuan yg lebih berotak..

    [Reply]

  20. yuyu says:

    July 31st, 2011 at 10:21 am

    bersabar lah wahai hamba Allah..jimmy..apa yg berlaku mesti ada hikmah disebalik nya…ini adalah ujian dari Allah…berdoa la padaNYA..insyaallah Allah akan memberikan jalan kemudaha untuk menyelesaikan masalah yg jimmy hadapi…

    [Reply]

  21. AKMA says:

    August 10th, 2011 at 6:29 am

    setiap yg berlaku ade hikmahnye,hanya Allah yg tahu..percayelah kepedihan,penderitaan ttp ade penghujungnye iaitu sebuah kebahagiaan..saya sarankn tryla berubat kat mne2..bukanny kolot tp bende dh banyak jd,tp kalo still x berubah mmg dari dr dy sendirilaa..

    [Reply]

  22. shaz says:

    January 2nd, 2012 at 10:21 pm

    bg sy…jimmy x ptt cerita hal rmh tangga nya kpd masyarakat. andai kata lah…tak mampu lg menanggung…cerita lah pada allah…tp ape pun…skg dah cerai pun kan…saya doa kan jimmy mendapat isteri yang solehah…org yg baik hanya utk org yg baik-baik….

    [Reply]

  23. iris says:

    January 19th, 2012 at 12:36 pm

    ank jimmy sebaya ank sulung sy. jimmy kawin pun thn yg sama dgn sy. ank jimmy comel. sy dpt rasakn jimmy di pihak yg betul. sy perempuan sy dpt nilai sikap perempuan. suami sy byk bersabar dgn sy. hubungan perkahwinan di atur keluarga mmg amek masa utk kenal ati budi sendiri mcm sy dan suami sy. tp alhamdulillah bila kami ada ank sy yg manja dan bersikap mcm budak2 mula berubah menjd lbh baik utk suami. kalu dulu suami sy yg masak n basuh bju, selalu kena tdo kt luar skrg semuanya kembali baik. sy yg nk berubah utk selamatkn rumah tangga sy. sy yg nak jd isteri dan ibu terbaik utk ank sy. suami sy sabar memberi semangat utk sy. jarak usia muda dr suami 6 thn buatkn suami lbh matang. jimmy sy rasa mmg susah utk awk hidup dgn isteri awk sbb dia mmg xde inisiatif utk berubah. binalah keluarga baru utk hidup baru. ank awak dgn dia tgunjwb bersama. tp jika diizinkn ALLAH kami semua berdoa semoga isteri awk kembali ke pangkal jln dan kembali taat sbg isteri awk dan jg la ank bersama2, AMINNNN.

    [Reply]

Leave a Reply


Jika anda baru pertama kali meninggalkan respon, ianya akan melalui proses moderation terlebih dahulu. Oleh itu, anda tidak perlu klik SUBMIT untuk kali ke-2. Apa-apa pun, responlah dengan akal yang waras yer :D